Friday, May 23, 2008

Suami Sukar Lupakan Arwah Isteri

Majalah Pesona Wanita Keluaran Jun klik pada gambar untuk paparan lebih besar



SUAMI SUKAR LUPAKAN ARWAH ISTERI
(Salmiah dari Batu Pahat)


Saya telah berkahwin dengan suami saya, Zali sudah lima tahun. Waktu itu Zali adalah seorang duda yang kematian isteri. Zali juga mempunyai dua orang anak yang berumur 6 dan 9 tahun. Isterinya itu meninggal akibat barah payu dara. Dan Zalilah yang menjaga anaknya sendirian selama dua tahun sebelum kami bernikah. Saya kagum dengan keprihatinan Zali menjaga kedua-dua anaknya itu. Dia terlalu menyayangi kedua-dua mereka sehingga tidak pernah memarahi dan menegur mereka. Kata Zali anak-anak ini adalah lambang cinta dengan arwah isterinya.
Bermula dari rasa simpati akhirnya bertukar menjadi sayang. Dari awal perkenalan kami lagi, Zali selalu menceritakan kisah arwah isterinya. Bagi Zali , arwah isterinya adalah seorang wanita yang terlalu istimewa. Selain mempunyai raut wajah yang cantik, arwah isterinya itu seorang yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga. Tidak pernah sekalipun Zali menceritakan keburukan arwah isterinya itu. Saya juga pernah beberapa kali dibawa oleh Zali menziarahi pusara isterinya dan waktu itu saya melihat wajahnya begitu sedih. Melihat kasih sayang Zali pada arwah bekas isterinya itulah membuatkan saya semakin sayang padanya, dan berharap Zali juga akan menyayangi saya seperti arwah isterinya itu.
Lebih enam bulan perkenalan kami, bermakna selama itulah saya menjadi pendengar yang setia tentang arwah isterinya. Saya tidak pernah mengeluh malah cuba menyelami perasaan dan sekali-sekala memberi perangsang kepadanya. Mungkin telah ditakdirkan akhirnya saya menerima lamarannya untuk menjadikan saya isteri dan ibu kepada anak-anaknya.
Setelah menjadi isterinya, saya dibawa tinggal bersama di rumah yang pernah didiaminya dengan arwah isterinya. Pertama kali saya melangkah masuk ke rumahnya, saya terpegun melihat gambar arwah isterinya di setiap sudut rumah. Dan apabila saya dibawa ke bilik, sekali lagi saya terkedu melihat gambar perkahwinannya yang tergantung di dinding katil dan setiap penjuru bilik. Melihat saya menatap gambarnya itu, Zalipun mula bercerita tentang keistimewaan arwah isterinya itu. Bila saya bertanya di mana tempat untuk gantungkan gambar perkahwinan kami, Zali menjawab tidak perlu kerana di rumahnya sudah terlalu banyak gambar. Mendengar jawapan itu hati saya betul-betul terluka, tetapi untuk tidak mengeruhkan keadaan saya cuma diam. Biarlah saya simpan dulu dalam almari gambar perkahwinan itu , dengan harapan pada satu hari nanti, hatinya akan terbuka untuk mengantungkan gambar itu.
Bulan pertama perkahwinan kami, saya sudah merasa rimas. Apa yang saya masak dan segala yang saya buat semuanya dibandingkan dengan arwahnya isterinya. Setiap kali kami makan dia akan memuji arwah isterinya yang pandai memasak. Setiap kali saya mengemas rumah, dia akan berpesan kepada saya supaya mengelap gambar arwah isterinya supaya sentiasa bersih kerana arwah isterinya seorang yang pembersih.
Saya bukanlah seorang yang cemburu tambah lagi pada orang yang telah mati, tetapi terasa diri ini bukan diperlukan sebagai seorang isteri tapi cuma sebagai tempat untuk dia bercerita dan meluahkan rindu dendam pada arwah isterinya. Sedangkan pada saya tidak pernah sekalipun dia mengucapkan kata-kata sayang atau rindu
Kalau dulu saya sanggup mendengar ceritanya berjam-jam tapi sekarang saya tidak berminat lagi mendengarnya. Saya tahu dia marah dengan sikap saya tetapi dia tidak pernah fikir dan tidak pernah mempedulikan perasaan saya. Walaupun saya telah menjadi isterinya tapi yang menghuni di hatinya adalah arwah isterinya. Walaupun saya cuba menjadi seorang isteri dan ibu yang baik tapi bayangan arwah isterinya juga yang ada di matanya. Terasa seperti saya seolah patung yang tidak bernyawa. Saya sendiri tidak faham bagaiman saya boleh bersama dengannya selama 5 tahun sedangkan dalam tempuh selama itu dia tidak habis lagi bercerita tentang arwah isterinya. Selama tempuh itu jugalah gambar perkahwinan kami masih lagi terperuk dalam almari.
Saya sendiri merasa cemburu dengan kasih sayang suami saya yang semakin menebal kepada arwah isterinya itu. Setiap minggu saya dipaksa mengikutnya menziarahi pusara arwah isterinya. Kalau dulu saya simpati dengannya tapi sekarang saya lebih sengsaranya daripadanya. Ternyata berkahwin dengan orang yang tidak berupaya membuka sepenuh hatinya pada kita amat menyiksakan. Suami saya seorang lelaki yang setia dan penuh dengan kasih sayang tapi bukan untuk saya. Sedangkan saya tidak mampu memandang lelaki lain kerana di hati saya cuma ada dia.