Saturday, June 21, 2008

Bersama Kak Su





BERSAMA KAK SU


Dalam menjalani kehidupan ini, pasti kita tidak sunyi dari dilanda kebosanan, kesepian, ketegangan dan kegagalan. Tetapi sebagai insan yang berfikiran positif, jangan anggap kegagalan itu satu penghalang. Sikap ingin cuba dan cuba lagi perlu ada untuk menakluk puncak kejayaan. Setelah semua itu kita lalui, pasti kita akan bertemu kebahagiaan. Kemudian bertanya kita pada hati, Bahagiakah kita? Berapa lamakah kebahagiaan itu dapat bertahan?
Bahagia bukanlah suatu destinasi tetap tetapi proses perjalanan itu sendiri. Memang itu merupakan matlamat insan, tetapi menikmati bahagia tidak terhenti pada satu-satu masa sahaja. Ia harus berlanjutan sepanjang hayat. Proses hayat itu sebenarnya melibatkan interaksi antara satu sama lain. Dan di dalam mencapai kebahagiaan, ia tidak menuntut apa-apa pengorbanan. Misalnya si isteri terpaksa memendam perasaan demi kebahagiaan rumahtangga. Kita tidak perlu mengornankan diri sendiri, menjadi lilin untuk menumpahkan cahaya demi kebahagiaan orang lain.
Kadang kala kita merenung sekeliling, mengapa ada yang tidak mencapai bahagia? Sukar sangatkah untuk mendapat bahagia itu sehingga ramai yang tidak layak untuk mengecapinya? Seperti kak Su, biarpun kak Su rasa bahagia bersama dengan abang Usu, kekadang tertanya juga hati ini apakah ini bahagia yang sejati atau cuma Kak Su yang merasa bahagia sedang orang yang melihatnya seperti Kak Su menjeruk rasa.
Pernah Kak Su bertanya pada abang Usu, bahagiakah dia hidup bersama dengan Kak Su? Kata abang Usu “ Bahagia itu bukan dirasai oleh individu. Tidak ada gunanya abang Usu bahagia kalau Kak Su menderita. Kebahagiaan itu apabila dapat berkongsi rasa dengan orang yang kita sayang. Bahagia itu apabila dapat membuat orang yang kita sayang merasa seronok, gembira dan ingin selalu bersama. Membahagiakan orang yang kita sayang akan membuat kita akan lebih bahagia.”
Terkedu Kak Su mendengar jawapan dari abang Usu. Tahulah Kak Su betapa selama ini dia sedaya upaya cuba membahagiakan Kak Su. Mungkin abang Usu juga melihat Kak Su seperti orang lain melihatnya. Ramai kawan-kawan yang bersimpati dengan Kak Su kerana mengahwini Abang Usu. Kata mereka hidup berkongsi kasih seperti Kak Su tidak lebih seperti ayam di lesung, bila dihalau terpaksa pergi. Banyak yang menuding jari kepada Kak Su kerana meletakkan cinta bukan pada tempatnya. Kalau inilah yang difkirkan oleh Abang Usu, mungkin dia juga tidak bahagia kerana menyangka Kak Su hidup menderita bersamanya.
Kebahagiaan bergantung kepada apa yang kita rasa dari hati tanpa ada apa-apa paksaan. Biarpun Kak Su sering ditinggalkan tapi yang membahagiakan Kak Su cumalah abang Usu seorang. Kak Su kenal hati Kak Su dan Kak Su tahu dia tidak pernah berdusta. Pernah Kak Su cuba untuk melupakan abang Usu dari hidup ini, tetapi ternyata yang merana adalah diri sendiri. Biarlah orang melihat Kak Su hidup merana asalkan Kak Su bahagia bersama Abang Usu.