Friday, May 23, 2008

Suami Sukar Lupakan Arwah Isteri

Majalah Pesona Wanita Keluaran Jun klik pada gambar untuk paparan lebih besar



SUAMI SUKAR LUPAKAN ARWAH ISTERI
(Salmiah dari Batu Pahat)


Saya telah berkahwin dengan suami saya, Zali sudah lima tahun. Waktu itu Zali adalah seorang duda yang kematian isteri. Zali juga mempunyai dua orang anak yang berumur 6 dan 9 tahun. Isterinya itu meninggal akibat barah payu dara. Dan Zalilah yang menjaga anaknya sendirian selama dua tahun sebelum kami bernikah. Saya kagum dengan keprihatinan Zali menjaga kedua-dua anaknya itu. Dia terlalu menyayangi kedua-dua mereka sehingga tidak pernah memarahi dan menegur mereka. Kata Zali anak-anak ini adalah lambang cinta dengan arwah isterinya.
Bermula dari rasa simpati akhirnya bertukar menjadi sayang. Dari awal perkenalan kami lagi, Zali selalu menceritakan kisah arwah isterinya. Bagi Zali , arwah isterinya adalah seorang wanita yang terlalu istimewa. Selain mempunyai raut wajah yang cantik, arwah isterinya itu seorang yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga. Tidak pernah sekalipun Zali menceritakan keburukan arwah isterinya itu. Saya juga pernah beberapa kali dibawa oleh Zali menziarahi pusara isterinya dan waktu itu saya melihat wajahnya begitu sedih. Melihat kasih sayang Zali pada arwah bekas isterinya itulah membuatkan saya semakin sayang padanya, dan berharap Zali juga akan menyayangi saya seperti arwah isterinya itu.
Lebih enam bulan perkenalan kami, bermakna selama itulah saya menjadi pendengar yang setia tentang arwah isterinya. Saya tidak pernah mengeluh malah cuba menyelami perasaan dan sekali-sekala memberi perangsang kepadanya. Mungkin telah ditakdirkan akhirnya saya menerima lamarannya untuk menjadikan saya isteri dan ibu kepada anak-anaknya.
Setelah menjadi isterinya, saya dibawa tinggal bersama di rumah yang pernah didiaminya dengan arwah isterinya. Pertama kali saya melangkah masuk ke rumahnya, saya terpegun melihat gambar arwah isterinya di setiap sudut rumah. Dan apabila saya dibawa ke bilik, sekali lagi saya terkedu melihat gambar perkahwinannya yang tergantung di dinding katil dan setiap penjuru bilik. Melihat saya menatap gambarnya itu, Zalipun mula bercerita tentang keistimewaan arwah isterinya itu. Bila saya bertanya di mana tempat untuk gantungkan gambar perkahwinan kami, Zali menjawab tidak perlu kerana di rumahnya sudah terlalu banyak gambar. Mendengar jawapan itu hati saya betul-betul terluka, tetapi untuk tidak mengeruhkan keadaan saya cuma diam. Biarlah saya simpan dulu dalam almari gambar perkahwinan itu , dengan harapan pada satu hari nanti, hatinya akan terbuka untuk mengantungkan gambar itu.
Bulan pertama perkahwinan kami, saya sudah merasa rimas. Apa yang saya masak dan segala yang saya buat semuanya dibandingkan dengan arwahnya isterinya. Setiap kali kami makan dia akan memuji arwah isterinya yang pandai memasak. Setiap kali saya mengemas rumah, dia akan berpesan kepada saya supaya mengelap gambar arwah isterinya supaya sentiasa bersih kerana arwah isterinya seorang yang pembersih.
Saya bukanlah seorang yang cemburu tambah lagi pada orang yang telah mati, tetapi terasa diri ini bukan diperlukan sebagai seorang isteri tapi cuma sebagai tempat untuk dia bercerita dan meluahkan rindu dendam pada arwah isterinya. Sedangkan pada saya tidak pernah sekalipun dia mengucapkan kata-kata sayang atau rindu
Kalau dulu saya sanggup mendengar ceritanya berjam-jam tapi sekarang saya tidak berminat lagi mendengarnya. Saya tahu dia marah dengan sikap saya tetapi dia tidak pernah fikir dan tidak pernah mempedulikan perasaan saya. Walaupun saya telah menjadi isterinya tapi yang menghuni di hatinya adalah arwah isterinya. Walaupun saya cuba menjadi seorang isteri dan ibu yang baik tapi bayangan arwah isterinya juga yang ada di matanya. Terasa seperti saya seolah patung yang tidak bernyawa. Saya sendiri tidak faham bagaiman saya boleh bersama dengannya selama 5 tahun sedangkan dalam tempuh selama itu dia tidak habis lagi bercerita tentang arwah isterinya. Selama tempuh itu jugalah gambar perkahwinan kami masih lagi terperuk dalam almari.
Saya sendiri merasa cemburu dengan kasih sayang suami saya yang semakin menebal kepada arwah isterinya itu. Setiap minggu saya dipaksa mengikutnya menziarahi pusara arwah isterinya. Kalau dulu saya simpati dengannya tapi sekarang saya lebih sengsaranya daripadanya. Ternyata berkahwin dengan orang yang tidak berupaya membuka sepenuh hatinya pada kita amat menyiksakan. Suami saya seorang lelaki yang setia dan penuh dengan kasih sayang tapi bukan untuk saya. Sedangkan saya tidak mampu memandang lelaki lain kerana di hati saya cuma ada dia.

Sunday, May 18, 2008

Suami Bosan Isteri Terlalu Cemburu

“Cemburu tandanya sayang”, tetapi jika terlampau cemburu adalah sejenis penyakit jiwa. Terlampau cemburu juga boleh dikategorikan bahwa pasangan tersebut terlalu amat mencintai pasangannya. Orang yang mempunyai pasangan yang teramat sangat cemburu tidak mungkin dapat hidup bahagia disebabkan tingkah lakunya yang menyusahkan itu. Malah sifat ini juga merupakan salah satu dari punca penceraian rumah tangga. Oleh itu adalah normal jika seorang pasangan itu takut kalau dia terkahwin dengan pasangan yang teramat sangat cemburu sifatnya itu.

Seorang itu akan menjadi pencemburu akibat dari ciri-ciri yang ada pada pasangannya. Sebagai contoh, seorang kerani perempuan tidak menjadi pencemburu jika sekiranya dia berkahwin hanya dengan seorang guru pendidik di sekolah kebangsaan. Tetapi dia akan menjadi pencemburu jika sekiranya dia berkahwin dengan seorang yang mempunyai bakat istimewa saperti penyanyi, pemuzik, pelakun dan lain-lain kerjaya yang mempunyai ramai peminatnya.

Seorang lelaki tua tetapi kaya raya dan berkahwin pula dengan seorang gadis model yang mempunyai wajah jelita serta memiliki bentuk tubuh badan yang menarik akan amat mencemburui isterinya itu kerana atas sebab daya tarikan yang ada pada isterinya.

Begitu juga dengan seorang janda yang berkahwin dengan pemuda 10 tahun lebih muda darinya akan amat mencemburui suaminya atas faktor usia. Bagi orang yang teramat cemburu itu berasa yang dirinya sebagai seorang yang tidak menarik jika hendak dibandingkan dengan pasangannya

Kajian dari ahli-ahli psikologi berpendapat semakin luas jurang daya tarikan yang wujud di antara seorang dengan pasangannya, maka akan semakin besar kemungkinan pasangannya itu akan menjadi seorang yang amat pencemburu. Dengan itu bagi mengelakkan masaalah cemburu yang serius ini dari berlaku, maka anda adalah dinasihatkan agar memilih pasangan yang memiliki daya tarikan yang sama dan kerjaya yang seimbangan dengan diri sendiri.

Bagi pasangan suami isteri yang mempunyai daya tarikan yang seimbang, lazimnya pasangan saperti ini kurang menghadapi masaalah cemburu yang serius. Jika kurang menghadapi masaalah cemburu bermakna akan berkekalanlah rumah tangga mereka.

Saturday, May 10, 2008

SEKS YANG LEBIH BERKESAN




SEKS YANG LEBIH BERKESAN

oleh: Ummu Salamah.

Ada pendapat yang mengatakan, semakin lama usia perkahwinan seseorang itu semakin baik hubungan seksnya kerana suami isteri semakin berpengalaman. Walaupun masing-masing ingin menikmati lebih banyak seks yang amat memuaskan , tetapi mereka seperti tidak mempunyai nafsu yang secukupnya untuk melakukannya. Oleh sebab itu persefahaman untuk meningkatkan hubungan seks itu amat penting. Jangan biarkan hubungan seks itu semakin tawar semata-mata kerana kita telah lama berkahwin.

1. Ramai yang gagal dalam mencapai kepuasan seks terutamanya golongan wanita. Salah satu puncanya ialah terlalu mementingkan untuk mencapai kepuasan. Terlalu risau atau ragu-ragu kepada kepuasan adalah punca utama seseorang itu tidak dapat mencapainya. Oleh itu tumpukan perhatian kepada apa yang sedang dilakukan ketika itu dan bukannya apa yang ingin dicapai kemudiannya.
2. Ada pendapat mengatakan, wanita mungkin mengambil masa 20 minit atau lebih untuk membolehnya terangsang. Sedangkan lelaki memerlukan masa yang lebih pendek. Selalunya pengetahuan yang kurang mengenai perbezaan inilah menyebabkan timbulnya banyak masalah dalam hubungan seks. Lelaki perlulah memahami keadaan ini dan bersabar dalam membantu isteri mendapat rangsangan.
3. Ramai wanita yang merasakan yang penting bagi mereka ialah memenuhi kehendak suami dan mengabaikan tuntutan nafsunya sendiri. Jasmani perempuan tidak sama dengan jasmani lelaki. Sudah difitrahkan bahawa ada kalanya jasmani perempuan susah mencapai orgasmik. Oleh sebab itu tidak ada salahnya kita suarakan kepada suami kita bahawa kita tidak mencapai puncak kepuasan Dan mintalah suami memberikan banyak belaian dan cumbu-cumbuan untuk membantu kita terangsang.
4. Apabila lelaki penat dan tidak mood untuk melakukan seks, perempuan jangan berkecil hati. Jangan tunjukkan muka masam tanda tidak puas hati. Teruskan berinteraksi dengan cara yang lembut dan penuh pengertian kepada suami. Kalau tidak suami akan merasa dia ditekan dan dipaksa untuk melakukan seks sedangkan dia belum bersedia lagi untuk melakukan hubungan. Sekalipun dia melakukanya seks tidak lagi menyeronokkannya. Oleh itu bersabar dulu biar suami anda betul-betul pulih tenaganya.
5. Hubungan kelamin adalah hubungan yang saling memberi dan menerima. Pernah ada seorang lelaki mengambarkan isterinya seperti’ batang pisang’tidak bertindak balas ketika melakukan hubungan. Kedinginan isteri kepada suami boleh melemahkan nafsu lelaki terhadap isterinya apabila dia merasa isterinya tidak berminat melakukan hubungan seks dengannya. Ramai wanita yang malu dikatakan agresif apabila mereka mengambil inisiatif dalam hubungan seks. Tetapi ramai lelaki yang menyukai pada wanita yang agresif. Lakukanlah apa yang sepatutnya kerana suami menghargai isteri yang mengambil berat tentang keperluan jiwanya.
6. Di dalam melakukan hubungan suami isteri, hendaklah kedua-duanya melakukan dengan iklas. Suami tidak membiarkan isterinya dalam keadaan tidak puas . Begitu juga isteri tidak membiarkan suaminya kecewa dalam mencapai orgasmanya. Kedua-duanya harus bekerjasama dalam mencapai kenikmatan berjimak. Menghargai suami merupakan tanggungjawab yang harus dilakukan oleh seorang isteri. Islam lebih mengutamakan melayani ajakan suami dari melakukan ibadah sunat. Sebab hubungan seks antara suami dan isteri itu lebih utama dan lebih penting.

Jangan Silap Memilih Pasangan

JANGAN SILAP MEMBUAT PILIHAN

Jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah dan sebagai manusia biasa kita perlu akur dengan kehendakNya. Ada pula yang mengatakan jodoh itu tidak akan datang sendiri kalau kita tidak mencarinya dan kita jugalah yang berhak membuat keputusan siapakah yang akan menjadi pasangan kita. Bukannya mengharapkan pada takdir semata-mata.
Sebagai manusia kita disuruh beriktiar untuk mendapatkan yang terbaik dan menerima takdir bukan bererti mengharap tanpa melakukan sesuatu. Untuk mendapatkan apa yang kita inginkan mestilah diusahakan dahulu., barulah kita menyerahkan pada takdir dan bertawakal kepada Allah.s.w.t. Begitu juga dengan jodoh, walaupun Allah s.w.t sudah menentukan siapakah bakal menjadi pasangan kita, namun usaha untuk mendapatkan yang terbaik tidak boleh diabaikan. Sedikit kesilapan yang dilakukan akan melibatkan keseluruhan kehidupan yang bakal ditempuhi kerana itulah sikap berhati-hati amat perlu dalam melakukan pemilihan pasangan.
Membina rumahtangga bukan seperti membina istana pasir di tepi pantai, sekali ombak melanda istana roboh berderai. Islam telah memberi garis panduan untuk memilih pasangan yang sesuai dalam membina sebuah keluarga yang bahagia. Kebahagian rumah tangga bukan terletak kepada banyaknya harta, mulianya keturunan atau cantiknya wajah. Tetapi utamakanlah kepada yang beragama nescaya akan mendapat kebahagiaan seperti yang ditegaskan dalam Al-Quran yang bermaksud: “Maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang suaminya…”
Di samping itu Rasulullah s.a.w memperingatkan tentang keburukan mengutamakan pemilihan pasangan berdasarkan ciri-ciri kecantikan, harta dan kedudukan atau keturunan semata-mata. Antara hadis baginda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengahwini seseorang perempuan semata-mata kerana kemuliaannya, Allah tidak akan memberi apa-apa pertambahan kecuali kehinaan. Sesiapa yang mengahwini kerana harta, Allah tidak akan menambah apa-apa kepadanya kecuali kemiskinan. Sesiapa yang mengahwini kerana kedudukan keluarganya, Allah tidak akan menambah kepadanya kecuali kehinaan. Tetapi barang siapa mengahwini perempuan bukan dengan tujuan lain melainkan untuk mengawal dan menjaga pandangan atau penglihatannya dan menjaga kehormatannya atau dengan tujuan menghubungkan silaturahim, Allah akan memberkati kedua-dua lelaki dan perempuan” Lalu ada yang bertanya , “ Ya Rasulullah, walaupun dia seorang yang fakir dan tidak berada?” Jawab baginda, apabila seseorang yang kamu yakini tentang keagamaan dan akhlaknya datang melamar maka kahwinilah dia (dan Rasulullah menyebutnya tiga kali.)” (H.R. Ibn Hibban).
Perkara ini perlu ditekankan kerana isteri yang mempunyai pegangan agama yang kuat akan sentiasa taat kepada suaminya dan akan sentiasa memelihara kehormatan dirinya. Namun begitu ciri-ciri lain tidaklah ditolak dalam menentukan pilihan kerana ia merupakan unsur pelengkap kepada kebahagiaan rumahtangga. Ciri-ciri seperti kecantikan merupakan pendorong kepada kemesraan dan kecintaan suami isteri. Apabila suaminya memandang isterinya yang cantik maka timbullah perasaan cinta dan kasih yang mendalam dan ini akan menjaga pandangan suaminya dari memandang perempuan lain. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. ketika ditanya mengenai perempuan yang disifat baik, maka Rasulullah menjawab”Perempuan yang mengembirakan suaminya apabila dipandang, mematuhi suaminya apabila disuruh dan tidak membantah suaminya tentang diri atau harta.”
Soal pemilihan pasangan perlu diberikan penekanan kerana ia akan menentukan seluruh perjalanan hidup sesebuah rumahtangga. Pengabaian kemungkinan akan mengakibatkan suatu suasana yang tidak harmoni dan tidak tenteram. Namun begitu sikap prihatin ini tidaklah sampai meletakkan seseorang itu dalam keadaan yang terlalu sukar untuk membuat pilihan sehingga terdapat sesetengah individu yang akhirnya mengabaikan tuntutan supaya perkahwinan itu disegerakan atau langsung mengabaikan tuntutan kerana tidak bertemu pasangan idaman. Dalan sikap keprihatinan dalam memilih ciri-ciri yang dianjurkan dalam pemilihan pasangan , seseorang itu perlu menerima hakikat bahawa manusia tidak semuanya sempurna. Oleh itu sifat keserhanaan dalam menentukan pilihan perlu ada supaya keseimbangan akan wujud antara idealistik dan keprihatinan. Setelah itu serahkanlah kepada takdir untuk menentukan sama ada baik atau buruk kerana yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu datangnya daripada manusia.