Saturday, May 10, 2008

Jangan Silap Memilih Pasangan

JANGAN SILAP MEMBUAT PILIHAN

Jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah dan sebagai manusia biasa kita perlu akur dengan kehendakNya. Ada pula yang mengatakan jodoh itu tidak akan datang sendiri kalau kita tidak mencarinya dan kita jugalah yang berhak membuat keputusan siapakah yang akan menjadi pasangan kita. Bukannya mengharapkan pada takdir semata-mata.
Sebagai manusia kita disuruh beriktiar untuk mendapatkan yang terbaik dan menerima takdir bukan bererti mengharap tanpa melakukan sesuatu. Untuk mendapatkan apa yang kita inginkan mestilah diusahakan dahulu., barulah kita menyerahkan pada takdir dan bertawakal kepada Allah.s.w.t. Begitu juga dengan jodoh, walaupun Allah s.w.t sudah menentukan siapakah bakal menjadi pasangan kita, namun usaha untuk mendapatkan yang terbaik tidak boleh diabaikan. Sedikit kesilapan yang dilakukan akan melibatkan keseluruhan kehidupan yang bakal ditempuhi kerana itulah sikap berhati-hati amat perlu dalam melakukan pemilihan pasangan.
Membina rumahtangga bukan seperti membina istana pasir di tepi pantai, sekali ombak melanda istana roboh berderai. Islam telah memberi garis panduan untuk memilih pasangan yang sesuai dalam membina sebuah keluarga yang bahagia. Kebahagian rumah tangga bukan terletak kepada banyaknya harta, mulianya keturunan atau cantiknya wajah. Tetapi utamakanlah kepada yang beragama nescaya akan mendapat kebahagiaan seperti yang ditegaskan dalam Al-Quran yang bermaksud: “Maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang suaminya…”
Di samping itu Rasulullah s.a.w memperingatkan tentang keburukan mengutamakan pemilihan pasangan berdasarkan ciri-ciri kecantikan, harta dan kedudukan atau keturunan semata-mata. Antara hadis baginda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengahwini seseorang perempuan semata-mata kerana kemuliaannya, Allah tidak akan memberi apa-apa pertambahan kecuali kehinaan. Sesiapa yang mengahwini kerana harta, Allah tidak akan menambah apa-apa kepadanya kecuali kemiskinan. Sesiapa yang mengahwini kerana kedudukan keluarganya, Allah tidak akan menambah kepadanya kecuali kehinaan. Tetapi barang siapa mengahwini perempuan bukan dengan tujuan lain melainkan untuk mengawal dan menjaga pandangan atau penglihatannya dan menjaga kehormatannya atau dengan tujuan menghubungkan silaturahim, Allah akan memberkati kedua-dua lelaki dan perempuan” Lalu ada yang bertanya , “ Ya Rasulullah, walaupun dia seorang yang fakir dan tidak berada?” Jawab baginda, apabila seseorang yang kamu yakini tentang keagamaan dan akhlaknya datang melamar maka kahwinilah dia (dan Rasulullah menyebutnya tiga kali.)” (H.R. Ibn Hibban).
Perkara ini perlu ditekankan kerana isteri yang mempunyai pegangan agama yang kuat akan sentiasa taat kepada suaminya dan akan sentiasa memelihara kehormatan dirinya. Namun begitu ciri-ciri lain tidaklah ditolak dalam menentukan pilihan kerana ia merupakan unsur pelengkap kepada kebahagiaan rumahtangga. Ciri-ciri seperti kecantikan merupakan pendorong kepada kemesraan dan kecintaan suami isteri. Apabila suaminya memandang isterinya yang cantik maka timbullah perasaan cinta dan kasih yang mendalam dan ini akan menjaga pandangan suaminya dari memandang perempuan lain. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. ketika ditanya mengenai perempuan yang disifat baik, maka Rasulullah menjawab”Perempuan yang mengembirakan suaminya apabila dipandang, mematuhi suaminya apabila disuruh dan tidak membantah suaminya tentang diri atau harta.”
Soal pemilihan pasangan perlu diberikan penekanan kerana ia akan menentukan seluruh perjalanan hidup sesebuah rumahtangga. Pengabaian kemungkinan akan mengakibatkan suatu suasana yang tidak harmoni dan tidak tenteram. Namun begitu sikap prihatin ini tidaklah sampai meletakkan seseorang itu dalam keadaan yang terlalu sukar untuk membuat pilihan sehingga terdapat sesetengah individu yang akhirnya mengabaikan tuntutan supaya perkahwinan itu disegerakan atau langsung mengabaikan tuntutan kerana tidak bertemu pasangan idaman. Dalan sikap keprihatinan dalam memilih ciri-ciri yang dianjurkan dalam pemilihan pasangan , seseorang itu perlu menerima hakikat bahawa manusia tidak semuanya sempurna. Oleh itu sifat keserhanaan dalam menentukan pilihan perlu ada supaya keseimbangan akan wujud antara idealistik dan keprihatinan. Setelah itu serahkanlah kepada takdir untuk menentukan sama ada baik atau buruk kerana yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu datangnya daripada manusia.