Friday, August 22, 2008

Mencari Jalan Pulang


MENCARI JALAN PULANG 0LEH: SYAFINAZ ABDULLAH
Kristian adalah agama asal saya. Namun Islam bukanlah sesuatu yang asing bagi saya. Lingkungan hidup saya dikelilingi oleh teman-teman dan jiran-jiran yang rata-ratanya beragama islam. Saya selalu melihat kawan-kawan saya mengerjakan solat dengan pakaian yang serba putih. Bahkan saya kagum dengan mereka yang melakukan solat lima kali sehari seperti yang pernah diceritakan oleh teman baik saya iaitu Suhada. Sementara saya cuma pergi ke Gereja seminggu sekali dengan memakai skirt pendek yang ketat. Ibubapa saya memang taat dalam beragama. Dan tentunya saya juga seperti penganut agama lain yakin dengan agama saya ini. Tidak pernah terfikirpun untuk beralih kepada agama lain. Namun sesungguhnya, sebagai pencipta yang memiliki setiap segala sesuatu, Dialah yang lebih mengetahui kepada siapakah hidayah itu akan diberikan.
Setelah tamat pengajiaan, saya mengajar bahasa inggeris di sebuah tadika islam kepunyaan kawan saya. Di tadika itu saya banyak mengenal cara-cara hidup orang islam. Paling tersentuh hati apabila melihat anak-anak yang masih kecil membaca doa sebelum makan dan selepas makan. Akhirnya saya juga telah tahu membaca doa dan mengamalkan setiap kali saya makan walaupun saya tidak tahu ertinya. Anak-anak ini juga akan diajar mengaji dan solat. Walaupun masih kecil tetapi mereka melakukan dengan begitu tertib sekali tanpa mengeluarkan bunyi bising. Saya merasa begitu seronok sekali mengajar di sini walaupun gajinya tidak sebesar mana. Anak-anak di sini membuat saya merasa begitu tenang sekali . Biarpun agak nakal tetapi bila waktu makan mereka akan berebut-rebut untuk membaca doa.
Setahun kemudian saya telah berkahwin dengan seorang lelaki yang beragama kristian yang terlalu fanatik dengan agama. Bersama suami, saya semakin aktif pergi ke gereja dan mengikuti setiap upacara yang diadakan. Saya banyak membaca buku-buku yang yang berkaitan dengan agama kristian untuk menambahkan ilmu kerana sesekali saya dijemput untuk memberikan ceramah kepada penganut yang baru. Namun semakin banyak saya membaca buku-buku dan kitab kristian semakin banyak yang saya rasa tak kena dalam agama ini terutamanya tentang Jesus yang di anggap anak Tuhan. Tanpa pengetahuan suami , saya telah membeli beberapa buku tentang agama islam. Saya ingin membuat pembandingan dan ingin mencari kekurangan dalam agama islam supaya saya lebih nyakin untuk berada dalam kristian.
Maha suci Allah. Semakin banyak saya membaca tentang islam, keindahannya semakin terserlah. Saya membaca dan terus membaca sehingga saya rasa dibawa pada satu alam yang lain. Saya berada pada satu tempat yang lapang di mana beribu-ribu orang memakai pakaian serba putih dan berzikir dengan menyebut nama Allah. Seolah ada suara yang menyuruh saya menyertai mereka dan sama-sama memuji nama Allah. Bila saja saya mengucapkan Allahu Akbar saya merasa segala persoalan yang bermain di kepala saya selama ini terlerai. Saya terus menyebut Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar sehingga saya terjaga. Rupanya saya bermimpi tetapi mimpi yang cukup indah dan amat bereti bagi saya.
Sejak hari itu saya banyak membaca buku-buku tentang islam. Saya ingin mencungkil segala rahsia dan keindahan yang terdapat dalam islam. Dalam kelekaan saya mencari kebenaran saya menjadi semakin malas mengikut suami ke gereja. Rupanya perubahan sikap saya ini disedari oleh suami. Suami saya telah memaksa saya memberitahu siapakah yang menghasut saya selama ini. Bila saya menerangkan bahawa saya telah mendapat petunjuk dari buku-buku yang saya baca, suami saya terus mengamuk. Semua buku-buku saya dikumpul dan dibakarnya. Waktu itu saya menangis semahu-mahunya. Saya merasa amat sedih sekali bila segala ilmu yang saya kutip dari buku itu dibakar begitu saja. Seakan diri sayapun terbakar sama.
Sejak hari itu segala gerak-geri saya diawasi oleh suami. Semua buku yang saya baca akan ditapis terlebih dahulu. Saya dianggap seperti seorang penjenayah. Namun itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus mendalami agama islam. Walaupun saya masih lagi mengikuti suami ke gereja tapi semua itu saya lakukan kerana terpaksa. Mimpi yang sama sering saja berulang dan ini membuatkan saya semakin rindu kepada islam. Rindu ini lebih dari merindui seorang kekasih, rasa rindu yang tak tertanggung sehingga membuat saya seperti orang hilang akal. Kadang-kala tanpa sedar saya menyebut nama Allah. Sungguh, bila hidayahMu datang tak siapapun dapat menghalang.
Sejak hari itu hubungan saya dengan suami tidak semesra dahulu. Suami mula melayan saya seperti tawanan perang. Silap sedikit, tangannya akan singgah ke badan saya. Malah katanya, dia sanggup membunuh saya dari membiarkan saya menganut agama islam. Namun semakin kuat dia menekan saya semakin dekat saya dengan islam. Dalam diam-diam saya menghubungi kawan saya tempat saya pernah mengajar dahulu. Saya ceritakan tentang keinginan saya mengenali islam. Kawan saya mengajak saya berjumpa dengan seorang ustaz untuk saya meluahkan hasrat saya itu. Pada hari yang dijanjikan saya keluar dari rumah dengan membawa beberapa helai baju. Saya sudah nekad, kalau sudah terpaksa saya akan keluar dari rumah ini biarpun terpaksa berpisah dengan suami.
Namun apa yang kita inginkan tak sama apa yang kita dapat. Rupanya sewaktu saya keluar dari rumah, suami saya telah mengekori saya. Di pertengahan jalan saya telah diseret dan dimasukkan dalam kereta. Sesampai di rumah, saya telah dipukul dan di sebat semahu-mahunya. Sekuat mana saya meraung kesakitan sedikitpun tidak dipedulikan olehnya. Seperti orang yang yang dirasuk hantu saya dipukul tanpa henti. Kegilaannya membuat saya tak mampu untuk melawan sehingga saya jatuh pengsan. Bila sedar saya dapati saya telah di kurung dalam bilik yang dikunci dari luar. Dalam menahan kesakitan saya menyebut Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Sesungguhnya waktu itu barulah saya sedar hanya kepadaNya sajalah tempat saya memohon pertolongan.
Allah telah memberikan pertolongan melalui kawan saya. Setelah saya tidak datang pada tempat yang dijanjikan, kawan saya mengesyaki sesuatu yang tidak baik telah berlaku pada saya. Dia telah membuat report ke balai polis atas aduan penderaan yang dilakukan suami saya terhadap saya. Bersama polis, kawan saya telah datang ke rumah untuk melihat keadaan saya. Pada mulanya suami saya memberi alasan saya tiada di rumah, namun segala-galanya terbongkar apabila polis memeriksa rumah saya dan menemui saya yang dikurung dalan bilik dalam keadaan badan yang lebam-lebam. Saya telah di bawa ke hospital untuk mendapat rawatan, sementara suami saya telah dibawa ke balai polis untuk siasatan. Kerana tidak sanggup lagi hidup bersama saya memohon perceraian. Ibubapa saya yang telah melihat penderaan ke atas saya ini juga bersetuju dengan penceraian ini tanpa mengetahui semua ini adalah berkaitan dengan agama.
Pada 23 Julai 2006, secara sahnya saya telah memeluk agama islam dengan dibimbing oleh seorang ustaz. Demi untuk ke selamatan, saya telah berhijrah ke pantai timur dan tinggal di sebuah pondok sambil mempelajari agama islam dengan lebih mendalam. Di sini saya betul-betul merasa tenang, damai dan satu perasaan yang sukar dilahirkan dengan kata-kata. Alhamdulillah kerana saya terpilih menjadi hamba untuk mengesakan Tuhan yang satu.