Saturday, September 13, 2008

Pesona Wanita Oktober 2008


BERSAMA KAK SU
Selamat Hari Raya Kak Su ucapkan kepada pembaca setia “Bersama Kak Su.”
Tiada apa yang ingin Kak Su katakan selain rasa syukur kepada Allah kerana Kak Su mampu menjalankan ibadah puasa dengan sempurnanya pada tahun ini, Alhamdulillah.
Setiap kali tiba hari raya, setiap kali itulah kak Su merasa sebak. Sepanjang perkahwinan, Kak Su tidak pernah menyambutnya bersama suami. Biarpun sebelum raya kami masih bersama tetapi bila tibanya hari raya, masing-masing akan membawa haluan sendiri. Kak Su dan anak-anak akan pulang ke kampung dan Abang Usu akan balik ke rumahnya di Utara. Tidak pernah ada apa-apa perjanjian, tapi begitulah setiap tahun kami akan berpisah semata-mata untuk berhari raya dengan keluarga sendiri.
Kadang-kala kak Su tertanya sendirian, kenapa Kak Su dinafikan hak untuk bersama suami di hari raya? Kata Abang Usu, dia mahu memberi peluang kepada Kak Su untuk beraya bersama keluarga. Kalau dua tiga tahun kak Su masih boleh terima tapi bila sudah lebih 10 tahun, kak Su mula terasa keluarbiasaanya. Anak-anak mula bertanya kenapa ayahnya tidak mahu beraya bersama? Kak Su tidak pernah memberikan apa-apa jawapan kerana Kak Su tahu jawapan itu akan hanya menitiskan airmata. Abang Usu tidak pernah mempelawa dan Kak Su juga tidak berani untuk bersuara kerana takut jawapannya nanti akan lebih menyakitkan hati. Cuma satu yang perlu abang Usu tahu, Kak Su sanggup mengikut Abang Usu walau ke mana saja Abang Usu pergi.
Sering Kak Su bertanya pada diri sendiri, Siapakah Kak Su dan anak-anak di hati Abang Usu? Biar sebanyak manapun kasih sayang Abang Usu pada Kak Su tetapi tidak ada ertinya kalau hari yang bahagia kita tidak dapat bersama. Kak Su ingin sekali mengucup tangan Abang Usu di pagi raya memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan. Kak Su ingin sekali bersama-sama abang Usu ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri. Kak Su kasihan melihat anak-anak yang seperti kehilangan sesuatu bila melihat saudaranya yang lain memeluk dan mencium tangan bapa di pagi raya.
Terlalu baikkah Abang Usu dengan membiarkan Kak Su dan anak-anak pulang sendirian ke kampung. Kami terpaksa menumpang mana-mana kereta yang kosong demi untuk meneruskan perjalanan. Abang Usu bukanlah seorang yang miskin tapi hidup Kak Su dan anak-anak seperti seorang musafir. Abang Usu tahu, sepanjang perjalanan Kak Su menahan sebak bila memikirkan keadaan kami yang terpaksa menempuh perjalanan yang sukar. Setiap masa Kak Su berdoa supaya dapat bertemu dengan abang Usu kembali. Biar siapapun abang Usu, namun cinta ini tidak pernah berubah.
Mungkin takdir telah menentukan segala-galanya. Ada masanya kita boleh bersama dan ada masanya kita terpaksa berpisah. Kalau inilah takdirNya, Kak Su redha menerimanya. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

Dapatkan Majalah Pesona Wanita Di Pasaran Dengan Segera