Sunday, October 19, 2008

Pesona November


Kategori syukur ada 3 kategori. Syukur dengan hati, lidah dan anggota. Syukur dengan hati adalah dengan mengucap syukur kepada Tuhan diam-diam di dalam hati, tanpa melibatkan kata-kata atau nada lafaz suara dengan nada berbisik.
Syukur dengan hati boleh dilakukan bila-bila masa di kala Anda sedang memerhati sesuatu, berfikir atau sedang bercakap dengan seseorang.
Syukur adalah sebagai rasa terima kasih atas nikmat-nikmat pemberian Tuhan. Kita lahir di dunia, bersekolah, belajar dan bekerja kerana kita menggunakan nikmat-nikmat yang diberikan oleh Tuhan melalui ibu bapa kita. Bila kita menerima sesuatu, wajarlah kita mengucap terima kasih. Bila kita jarang berterima kasih, kita dianggap sombong. Jadi, sesiapapun takkan mahu memberi kita apa saja yang mereka ada. Mana-mana pihak pun tak mahu berkongsi dengan kita, hanya kerana kita sombong, tak mahu berterima kasih.
Di dalam perhubungan sesama manusia, orang yang memberi dan bila diucap terima kasih atas pemberiannya, sudah tentu akan bersemangat nak memberi dengan lebih banyak lagi. Cuba Anda memberi sesuatu pada kawan-kawan atau ahli keluarga, kemudian mereka mengucap terima kasih kepada Anda, sudah tentu Anda berasa terharu dan bahagia. Pastinya Anda akan memberi lagi, sebab Anda merasa terharu dan sangat bahagia mendengar ucapan terima kasih dari mereka. Hati pun menjadi tenang.
Syukur dalam hati dalam membentuk diri kita menjadi manusia pemberi. Seorang manusia pemberi suka memberi tanpa mengharap balasan, kerana menganggap pemberiannya itu adalah satu pelaburan buat dirinya di akhirat nanti. Mana-mana agama pun setuju dengan konsep ini. Mereka percaya dengan kehidupan selepas mati, atau life after death.
Segala yang kita buat, sekecil manapun, akan tetap menerima balasan. Buat baik, akan dibalas dengan baik. Hukum ini tak pernah tersilap, bahkan berlaku setiap masa di mana-mana saja.
Jadi, bila kita bersyukur, ikhlas memberi, orang lain juga akan suka memberi pada kita. Jika manusia suka memberi pada kita sebab kita selalu bersyukur atau berterima kasih, Tuhan sudah tentu suka memberi kita nikmat-nikmatnya.
Antara nikmat-nikmat yang diberi pada orang selalu bersyukur adalah ketenangan hati, kebahagiaan dan paling ketara kemurahan rezeki. Jika Anda mahu rezeki Anda menjadi murah, sentiasa mengalir, rajin-rajinkan diri bersyukur mulai hari ini juga.