Friday, December 19, 2008

Tekad Hati Wanita




TEKAD HATI WANITA
Nampaknya semakin panas menggelegak juga kisah keretakan rumahtangga antara dua orang dramatis popular ini. Boleh dikatakan kesemua suratkhabar dan media massa begitu fokus dengan memaparkan berita Abby Abadi dan Norman Hakim. Apa tidaknya, berita sensasi sebegini pastinya akan dapat melariskan dan dapat menaikkan rating penonton.
Namun, penulis mengharapkan peristiwa kemelut rumahtangga ini dijadikan iktibar untuk kita semua, bukan sebagai setakat pandai melontar komen dan menyalahkan mana-mana pihak.
Hati wanita mana yang tidak berang dan marah apabila insan yang disayanginya telah berpaling tadah. Hati perempuan mana yang tidak remuk setelah mendapati rumahtangga yang dipertahankan tidak dapat diselamatkan lagi. Begitu juga dengan Abby Abadi yang marah dan berang apabila suaminya dikatakan cuba mempertahankan kebaikan Suhaiza Suhaimi atau Memey, 20, hingga menimbulkan suasana tegang di lokasi penggambaran drama Gerak Khas berhampiran Carrefour Wangsa Maju November lalu.
Selepas gagal membuat permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Hulu Klang, Abby kini pasrah dengan takdir yang menimpa dirinya. Abby menghadapi masalah kerana dinasihatkan pihak mahkamah supaya mengemukakan beberapa dokumen yang didakwanya berada dalam simpanan Norman termasuk surat rujuk perceraian mereka pada Mei 2006.
Bikin kecoh seketika apabila sekumpulan wartawan menemubual Norman Hakim mengenai masalah rumahtangganya di situ, Abby tiba-tiba mencelah untuk mendapatkan kepastian daripada suaminya mengapa dia masih menyebelahi Memey.
Nekadnya sekeping hati isteri bernama Arbaeyah Abdul Manan ini bertanyakan soalan itu di hadapan wartawan kerana dakwanya sejak kes khalwat itu pada 30 Oktober lalu, Norman langsung tidak mahu berjumpa. Lebih dari itu, semua panggilan telefon dari Abby tidak dijawab oleh Norman.
Terkedu seketika Norman apabila berhadapan dengan kejadian itu. Dramatis Gerak Khas ini kelihatan sebak dilihat berjalan ke satu sudut jauh dari wartawan sambil membawa borang perceraian ditunjukkan Abby.
Pada waktu itu, wartawan memberi ruang kepada mereka untuk berbincang dan hampir 45 minit kemudian Norman kembali menemui wartawan dengan wajah muram yang berselindung di sebalik kaca mata hitam sambil Abby mengikutnya dari belakang.
Dengan linangan air mata, Norman berkata, dia boleh memberikan kerjasama terhadap tuntutan Abby tetapi dia memerlukan kehadiran orang ketiga iaitu Memey. Dalam keadaan sekarang, katanya, dia perlu menjaga hati ramai pihak, termasuk orang tua Memey selain Abby masih isterinya.
KISAH TILAM DAN BANTAL ABBY
Sekarang ini, apa yang berlaku begitu meyakinkan Abby Abadi yang suaminya memang tidak perlukan dirinya lagi. Kata Abby, “Dia bukan Norman Hakim yang saya kenali dulu,”
Abby Abadi telah meluahkan isi hati wanitanya ketika muncul sebagai tetamu bagi rancangan “Wanita Hari Ini” di TV3. Di dalam temubual bagi segmen “Tilam & Bantal” itu, pada awalnya, Abby tampak tenang tetapi ternyata hati rapuhnya gagal menahan dari menitiskan airmata apabila terus ditanya tentang apa sebenarnya yang telah berlaku di antara beliau dan Norman.
“Masalah ini bukan baru, on and off, memang ada cerita tentang dia dan perempuan lain. Tapi saya terima sebagai dugaan. Dalam kes ini pula, saya ada terima SMS dari saudara perempuan itu sendiri yang mengatakan Norman dan perempuan itu memang berkawan. Saya bertanyakan hal itu kepada Norman dan dia bersumpah dia tidak ada apa-apa dengan perempuan itu, dan saya terima. Saya marah penghantar sms itu dan bertanyakan kenapa nak buat cerita yang tak ada. Insiden ini berlaku Disember lalu.”
Mengenai berita yang mengatakan Norman telah lama tidak pulang ke rumah, Abby tidak menafikan yang ianya berlaku. “Dia memang suka buat hal sendiri, tapi kali ini paling worst. Sepanjang saya mengandung anak ketiga, dia memang tidak balik. Sewaktu saya di rumah emak saya, dia kata dia tidur di pejabatlah, di rumah sayalah, tapi memang saya tak nampak dia pun. Alhamdulillah sewaktu pantang, saya kuat. Tapi keadaan sekarang memang sukar saya terima.”
Apabila ditanya adakah sikap beliau sendiri menjadi penyebab kemelut yang dihadapi kini, Abby menjawab: “Saya rasa bukan sikap saya yang menjadi penyebab kepada masalah ini. Apa yang saya boleh kata ialah, bila suami buat salah, memang ada silap kita sebagai isteri. Tapi kalau selalu sangat buat salah, tak boleh terima.”
Abby juga mengaku yang sebelum ini beliau pernah pergi ke lokasi penggambaran untuk mencari Norman. “Saya memang ada pergi ke lokasi, tapi saya duduk saja dalam kereta. Tapi walaupun bila shooting berehat, dia langsung tak datang berjumpa saya, walaupun saya lama menunggu dalam kereta.”
“Saya tak rasa saya mengongkong dia, tapi saya memang ambil berat atas apa-apa yang berlaku. Tapi kini telah sampai satu tahap saya seperti tiada hak lagi sebagai isteri sehingga dia boleh berbuat apa saja.”
Berikutan dengan tindakan Norman selepas insiden beliau ditangkap khalwat minggu lepas, Abby mengulas: “Sejak insiden khalwat tu, dia memang tidak ada pulang ke rumah untuk menerangkan keadaan. Cuma dia meminta berjumpa sekali saja. Dia minta saya bagi kekuatan pada dirinya. Dia minta saya tolong jaga perhubungan dia dengan perempuan itu. Saya fikir, macam mana dengan perasaan saya? Saya rasa itu memang last yang saya nak jumpa dia. Saya tak sangka dia akan buat saya macam ini.”
Tentang perbuatan beliau menyerahkan surat cerai kepada Norman di lokasi penggambaran dan disaksikan orang ramai, Abby memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia di atas tindakan beliau itu dan beliau mengaku berasa malu dengan apa yang telah berlaku.
Sebagai pesanan penutup rancangan, Abby berkata: “Terima kasih di atas semua sokongan yang saya terima. Bagi Norman, teruskanlah impian untuk terus bersama perempuan itu, saya sudah terima kenyataan itu.”
KEMELUT HIDUP ABBY ABADI
Hasil perkongsian hidup mereka, Abby dan Norman dikurniakan tiga anak, Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim. Pada mulanya, kehadiran Maria Danisha Hakim diharapkan dapat menguatkan lagi hubungan Norman dan Abby.
Namun ternyata impian tidak seindah realiti yang berlaku. Bayi perempuan dilahirkan secara normal Rabu lalu jam 8.22 pagi di Poliklinik Kohilal, Taman Melawati itu hanya sekadar tempelan untuk mengaburi mata peminat. Realitinya, Norman Hakim masih lagi mengharapkan kasih dari wanita lain yang mungkin baginya lebih sempurna dari Abby.
Bagi Abby Abadi, kehadiran si comel Maria sememangnya menambahkan keceriaan suasana rumah tangga Norman dan Abby yang sebelum ini sudah pun diserikan dengan dua cahaya mata yang kian membesar Mohamed Danish Hakim, 5, dan Marissa Dania Hakim, 3. Namun, apalah malang nasib yang menimpa nampaknya kehidupan rumahtangga tidaklah seindah yang mereka sangkakan.
Kelahiran Maria pada 17 September lalu juga merealisasikan hasrat Norman yang mahu anaknya dilahirkan pada hari Nuzul Quran. Norman juga berkata, setiap kali isterinya melahirkan, dia akan sentiasa berada di sisi Abby untuk menemaninya.
ANUGERAH TERINDAH
Lebih lapan tahun menerajui drama bersiri Gerak Khas mungkin boleh dikatakan membawa tuah kepada Abby Abadi. Watak Inspektor Aleeza bagaikan serasi dengannya hingga empat kali dinobatkan Pelakon TV Wanita Popular.
Pada dua tahun lalu, Abby Abadi terpaksa merelakan takhta yang dipertahankan pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu beralih ke tangan ratu telenovela, Eja. Dia akur dengan kehendak penonton, tiada langsung timbul sekelumit kecewa sebaliknya tersenarai sebagai calon akhir adalah satu kejayaan besar buat dirinya. Satu rasa kesyukuran terpancar dari riak tenang wajahnya.
Malah, saat ini pun ibu kepada tiga cahaya mata ini seakan tidak percaya dia masih mempunyai peminat apabila sekali lagi namanya tersenarai untuk kategori sama, biarpun sekadar bersandarkan kepada drama kepolisan yang turut menampilkan suaminya, aktor Norman Hakim. Setelah berita tentang pergolakan rumahtangganya, kini peminat semakin banyak bersimpati dan menyokong kehidupan Abby.
Bersandarkan pada itu, Abby kembali ingin bangun dan teruskan perjuangan dalam bidang seni lakonan. Semoga Abby Abadi terus tabah menghadapi dugaan dalam hidupnya.
PROFILE ABBY ABADI
NAMA SEBENAR: Arbaieyah Abdul Manan
TARIKH LAHIR: 1 Disember 1977
PROFESION: Pelakon, penyanyi, pengacara
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Norman Hakim
ANAK: Mohamed Danish Hakim dan Marissa Dania Hakim
ALBUM: Antaranya - Tamparan Wanita bersama kumpulan Elite
FILEM: Antaranya - Gerak Khas The Movie, Gerak Khas The Movie 2, Gerak Khas The Movie 3.
DRAMA TV: Antaranya - Manjalara, Gerak Khas, Menantu Mak Dara, Labuna Labuni
HOS: Roda Impian
PENCAPAIAN: Antaranya - Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian, empat tahun berturut-turut.